Subhanallah!!! Dilema Cinta Suami Isteri Jarak Jauh. Kadang2 Termimpi Zizan, Kadang2 Termimpi Janna Nick.. Tapi Inilah Manisnya...




Tidak semua wanita bertuah boleh didampingi suami setiap hari, ramai dipisahkan dari tersayang disebabkan tugas dan tanggungjawab yang bukan calang-calang lamanya hingga berbulan-bulan.

Salah satu dilema para isteri yang terpaksa berpisah dengan suami kerana kerjaya yang diceburi menuntut kemusafiran yang panjang dan jauh dari keluarga.

Sunyi, pilu, rindu, tiada siapa menafikan beratnya menanggung beban emosi berjauhan dari yang tersayang, suami pun terpaksa tabahkan diri diburu rasa risau tentang keadaan keluarga yang jauh. Kedua-dua mereka sama-sama terseksa oleh keadaan, jika tidak kuat iman robohlah kesabaran. Rasa terkilan kadang-kadang muncul, ada ketikanya rasa tersisih seolah-olah diketepikan.

Kisah tentang cemburu lagi haru, setiap malam dihantui waswas syaitan yang mengapi-apikan cerita orang ketiga. Kalau tiada komunikasi langsung beberapa hari sudah pasti ada saja percikan-percikan api cemburu dan sangka jahat melulu.

Sunyi tanpa aktiviti juga boleh membunuh perasaan iaitu apabila masa banyak terbuang sia-sia ataupun penuh diisi dengan aktiviti yang tidak membina jiwa dan minda. Isteri sememangnya ramai yang berkelulusan tinggi tapi malangnya jika mereka berhadapan dengan perasaan sendiri sungguh lemah!

Seakan-akan tidak bermanfaat ilmunya dan habis segala kepakarannya jika berhadapan dengan makhluk yang bernama suami. Wanita boleh hilang akal jika dipermainkan perasaan cemburu, lemas dalam cinta dan hangus dibakar dendam. Entah mengapa wanita masih tak kuasa mengawal perasaannya sendiri jika membabitkan cinta lelaki. Melainkan mereka yang betul-betul kuat personaliti, iman yang mendalam atas qada dan qadar Allah SWT.

Suami terpaksa hidup sendiri juga berhadapan dengan tentangan iman yang ganas, apabila dihidangkan dengan produk-produk syahwat yang berkeliaran sejauh mata memandang. Manakala isteri tiada di sisi, hanya berpuasalah yang boleh membentengi nafsunya dari terlepas bebas secara liar. Kenangan manis tentang keluarga mesti sentiasa kukuh tersergam dalam ingatan suami agar segala lintasan hati yang mengajak pada jalan maksiat boleh ditepis serta merta.

Hidup sebagai suami isteri secara berjauhan amat mengazabkan, sesiapa yang berjaya menangkis segala pujukan syaitan yang merayu dengan angan-angan tentang kenikmatan syahwat secara haram sungguh mereka itu hamba-hamba Allah yang memiliki sifat Nabi Yusuf AS. Hamba Allah yang menolak kejahatan zina kerana takut pada Allah SWT. Zaman ini tidak lagi pelik mendengar suami orang bercinta dengan isteri orang, sungguh luar biasa kejahatan zina ini telah bermaharajalela!

Suami dan isteri yang terpisah mesti memiliki kemampuan untuk mendidik diri dengan ajaran Islam yang sempurna. Jika agama telah terlerai daripada jiwa maka tunggulah saat kehancuran akhlak mula ranap. Islam dibina dengan solat, jika ia diabaikan tiada lagi yang dapat menyelamatkan seorang manusia dari berbuat jahat dan dosa besar. Seorang yang masih komited menjaga solatnya sudah pasti dia tidak mungkin terdedah dengan zina secara merbahaya melainkan solatnya itu kosong tanpa roh khusyuk.

Suami isteri juga amat perlukan hidayah Allah dalam mengharungi hidup berjauhan, petunjuk dan rahmat Nya yang melindungi diri daripada tipu daya manusia dan iblis yang merosakkan. Kadang-kadang hidayah itu datang dalam bentuk kefahaman dalam ilmu-ilmu Islam, minat mengaji al-Quran dan hadis semata-mata kerana mahu kekal berada di jalan Allah. Walaupun suami berada di negeri lain dan isteri di negeri yang lain pula tapi mereka tetap merasai kebersamaan dalam iman.

Penyatuan hati kerana Allah amat penting untuk memastikan tiada siapa pun mampu meleraikan hubungan yang diikat dengan tali Allah ini. Mereka menyibukkan diri dengan kerja-kerja amal, mencari nafkah, membangunkan jiwa dan minda, mengisi hati dengan ilmu dan berada pada landasan yang benar bersama kawan-kawan yang soleh untuk memastikan kekuatan personaliti itu suci.

Kekuatan hubungan suami isteri juga bergantung kepada akhlak yang saling dipamerkan bila berjumpa. Jangan buang masa dengan membicarakan masalah yang mendatangkan fikiran negatif, isi masa bersama dengan sebaik-baik perbualan. Sungguh jarak dan masa amatlah mahal bagi mereka yang terpaksa hidup berjauhan. Janganlah bazirkan masa dengan perbualan dosa sepertimana yang Rasulullah s.a.w ajarkan dalam sebuah hadis:

Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: Aku peringatkan kamu daripada sangkaan sesungguhnya sangkaan itu adalah bisikan yang paling bohong.  Dan janganlah kamu mencari-cari rahsia (kelemahan, keaiban dan keburukan saudaranya), janganlah merasa-rasakan (yang bukan-bukan), janganlah kamu melakukan pertengkaran, jangan berhasad (dengki), jangan berbenci-bencian, janganlah membelakangkan (saudaramu seagama).  Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara". (Hadis Al-Bukhari)

Suami isteri yang berjauhan hanya dapat disatukan dengan rahmat Allah, sesiapa yang berusaha mendapat rahmat Allah merekalah yang paling mencintai satu sama lain. Belum tentu yang dekat itu kasih dan yang jauh itu benci boleh jadi sebaliknya yang berlaku. Semoga cinta itu mendekatkan kita dengan syurga walaupun jauh di mata.

Oleh:Nadia Mingguan Wanita


EmoticonEmoticon